Sunday 11 December 2011

Barcelona Masih Berkuasa Dalam 'El-Classico'

Barcelona kembali dari jaringan gol terpantas sejarah El Clasico untuk memecahkan rekod 15 perlawanan tanpa kalah Real Madrid. 'el-classico' adalah merujuk kepada perlawanan dua seteru iaitu Barcelona dan Real Madrid. Walaupun telah memenangi La Liga tiga tahun berturut-turut dan mengatasi Real dalam liga domestik dan Liga Juara-Juara, pasukan Pep Guardiola bukanlah pasukan pilihan dalam perlawanan El Clasico pagi tadi.

Akibat terlambat bangun beberapa minit, aku terlepas jaringan awal Karim Benzema seawal 23 saat perlawanan yang meletakkan Real Madrid di hadapan. Namun Alexis Sanchez memanfaatkan peluangnya dengan baik dan menjaringkan gol setelah Messi menggelecek bola melalui barisan pertahanan Real pada minit ke-30 dan menyamakan kedudukan. Madrid kelihatan terkejut dengan kehilangan kelebihan gol mereka dan Ronaldo telah sekali lagi terlepas sasaran dengan tandukan yang liar.

Separuh masa kedua, Xavi yang banyak mencipta gerak serangan dengan penampilan ke-600 untuk Barca berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke 52. Rembatannya dari luar kotak penalti telah terbias oleh Marcelo dan terus menerjah ke gawang Real.  Gol ketiga Barcelona pula hadir pada minit ke 66 hasil tandukan Cesc Fabregas setelah menerima hantaran tepat Dani Alves.

Real Madrid tetap meneruskan serangan mereka sehingga ke minit terakhir tetapi masih buntu untuk menambah jaringan dan akhirnya kemenangan berpihak kepada Barcelona 3 - 1.

0 comments:

Post a Comment