Friday 30 December 2011

Elemen komersial masih perlu?

MEMANDANG perkembangan teater kita sepanjang 2011, bolehlah dibuat kesimpulan alirannya tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.

Jenama popular dan komersial masih lagi menjadi pilihan produser bagi menarik kehadiran penonton ke gelanggang teater. Nama-nama popular dilihat memainkan peranan penting apabila menyuntik nilai tambahan terhadap pementasan teater khususnya teater Melayu.

Istana Budaya (IB) nampaknya masih menjadi pilihan utama serta ‘lubuk emas’ bagi penggiat teater tempatan.

Ini terbukti menerusi kejayaan hebat yang diberikan terhadap beberapa teater seperti Lat Kampung Boy, Badai Semalam, Muzikal Tun Mahathir Musim Kedua, Terima Kasih Cinta, Sri Mersing, The Secret Life of Nora.


Pentas Panggung Sari tahun ini dibuka dengan Muzikal Tun Mahathir Musim Kedua terbitan CTRA Productions. Rentetan kejayaan cemerlang yang diraih menerusi pementasan pertama pada September 2010, ia dipentaskan lagi pada 21 hingga 30 Januari lalu. Pementasan kali kedua ini bagaimanapun tanpa Zizan Nin yang dulu melakonkan watak Dr Mahathir dan Erra Fazira (Dr Siti Hasmah).


Arahan Rosminah Mohd Tahir dengan skrip oleh Ismail Kassan, Muzikal Tun Mahathir Musim Kedua membariskan Esma Daniel, Ezany Nizarif, Elly Mazlein, Misha Omar, Datuk AC Mizal, Sarimah Ibrahim dan Azean Irdawaty.

Teater ini tidak sunyi dengan kontroversi apabila Zizan dikatakan menolak tawaran kerana mahukan bayaran lebih tinggi berbanding sebelumnya. Tempatnya digantikan Ezany Nizarif manakala watak Siti Hasmah digalas Elly Mazlein.

Ia berjaya menarik kehadiran 9,000 penonton dan mendapat kutipan hampir RM160,000.

Teater Terima Kasih Cinta terbitan Primeworks Studios menyusul di IB dan turut ditimpa kontroversi gara-gara masalah dalaman sesama pelakonnya.

Biarpun menerima pujian, produksi teater ini terpaksa berdepan dengan perang dingin antara Norish Karman, Farahdhiya dan Deja Moss.

Teater ini berdasarkan filem Cinta arahan Kabir Bhatia dan diarahkan Pat Ibrahim. Ia berjaya menarik 12,769 penonton dan dengan pulangan RM470,000.

Seperti yang dihebohkan sebelumnya, Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal terbitan Tall Order Productions menjadi karya paling ditunggu-tunggu. Teater yang diangkat dari komik The Kampung Boy karya Datuk Lat ini sememangnya dekat di hati peminat dan berjaya menggamit bilangan penonton paling ramai iaitu 31,204 orang dengan kutipan tiket kira-kira RM3.8 juta.

Pementasan lain adalah Rebab Berbisik terbitan Jay Jazuil Entertaiment dan IB pada 8 hingga 11 April lalu. Ia menampilkan Rosnan Rahman sebagai pelakon utama dengan pulangan tiket kira-kira RM27,000.

Tidak ketinggalan dipentaskan, Kenangan Mengusik Jiwa... 60-an pada 27 Mei hingga 5 Jun lalu. Ia menampilkan Dafi, Ana Raffali, Iqbal Mazlan, Latiff Ibrahim, Siti Saida dan Halil Chik.

Ia turut menampilkan artis-artis veteran seperti Datuk Ahmad Jais, A Rahman Onn, L Ramlee, J Sham, A Halim, Husin Ismail, A Rozainie, Fatimah M Amin. Teater ini mendapat pulangan sekitar RM200,000.

Pementasan lain adalah Dreamgirls terbitan Broadway Academy (14 hingga 24 Julai). Barisan pelakonnya terdiri daripada Cheryl Samad, Azura Zainal, Ruzana Ibrahim, Elvira Arul, Tony Eusoff, Indi Nadarajah dan Dafi. Muzikal ini berjaya mengutip kira-kira RM480,000.

The Secret Life of Nora terbitan Enfiniti Vision Media pula dipentaskan pada 29 September hingga 16 Oktober lalu. Ia menyatukan Datin Seri Tiara Jacquelina, Ryan Silverman, Aznil Nawawi, Adibah Noor dan Tony Eusoff.

Cerita berkisar zaman kegemilangan panggung hiburan pada dekad 1960-an ini mengutip pulangan yang hebat juga iaitu sebanyak RM1.7 juta.

Badai Semalam juga mencatat kejayaan manis bagi penggiat teater tempatan. Ia adaptasi daripada novel terkenal Khadijah Hashim dan berlangsung pada 11 hingga 20 November lalu di IB.

Teater arahan Khairunazwan Rodzi ini mempertaruhkan Erra Fazira, Aaron Aziz, Fizz Fairuz dan Umie Aida dan ramai lagi. Seramai 16,233 peminat datang menonton dengan mendapat kutipan RM805,000.

Nadi perkembangan teater kita tidak bertumpu di IB saja kerana ada ramai lagi di luar sana memperjuangkan karya mereka secara bebas dan kecil-kecilan. Tanpa bergantung kepada nama besar dan publisiti mencurah, mereka tetap gigih mementaskan karya di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, auditorium Matic, Stor Teater DBP (Dewan Bahasa & Pustaka) dan beberapa lokasi lain.

Manakala penggiat teater Inggeris pula lebih ligat berkarya di KL PAC, The Loft Lot 10 dan The Actors Studio. Tidak dilupakan juga peranan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang memilih mementaskan kisah bangsawan seperti Siti Zubaidah oleh Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP).

Begitu juga dengan peranan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) yang berterusan menghidupkan teater bangsawan agar tidak pupus ditelan zaman.

Menerusi Siri Semarak Bangsawan 2011, aktivitis teater dari seluruh negara diberi peluang mempamerkan bakat mereka di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Antara teater bangsawan yang dipentaskan adalah Merong Mahawangsa arahan Raja Azri Raja Kamaruzzaman (Raja Azrey).




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment