Thursday 29 December 2011

Jalan Trans Borneo masih ditutup, jalan sementara sedang dibina

SERIAN: Jalan Trans Borneo masih ditutup kepada semua kenderaan ekoran kejadian tanah runtuh di Km 78 Jalan Serian-Sri Aman, manakala kerja membina jalan sementara masih diteruskan.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Mohamad Jamali Umi ketika dihubungi, berkata orang ramai yang mahu ke Sri Aman atau ke Kuching boleh menggunakan Jalan Slabi di Km 62 Jalan Serian untuk ke Km 80 Jalan Serian-Sri Aman.

"Anggota polis telahpun ditempatkan di simpang Jalan Slabi dan pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif yang boleh dilalui semua jenis kenderaan itu dan jalan adalah berturap sepanjang 15 kilometer," katanya.
Beliau berkata pada masa ini kerja membina jalan sementara bersebelahan jalan yang runtuh itu masih diteruskan oleh Jabatan Kerja Raya.

Keadaan trafik di Jalan Trans Borneo dari arah Serian ke Sri Aman masih terkawal dan pengguna jalan raya dinasihati memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan kerja baik pulih jalan dapat dipercepatkan.

Dalam kejadian 8.45 malam tadi, jalan berhampiran Semukoi dekat Balai Ringin di daerah Serian itu mendap dan runtuh sepanjang 200 meter. -- BERNAMA


Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment