Thursday 29 December 2011

Karnival khas buat Jamal

TOLAK ke tepi soal kemelut beliau dengan rumah Pengasih dan segala macam spekulasi yang melanda. Hakikatnya, Jamal Abdillah tetap gigih berjuang menjadi seorang penghibur yang berjaya.

Sesudah berjaya menghimpunkan ramai peminat pada setiap konsert dan persembahan di sana-sini selain jualan album membanggakan, penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini kembali dengan sebuah lagi penganjuran acara istimewa buat peminat setianya.

Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah akan berlangsung pada 7 Januari depan
di pekarangan Maju Junction Mall, Kuala Lumpur bermula 10 pagi sehingga 10 malam.

Karnival julung kali itu dianjurkan bersempena kemunculan album terbarunya, Raja Pop 2 serta produk kecantikan yang diusahakan bersama D’JAS dan Bintang Channel.

Jelas Jamal yang ditemui di pejabat Warner Music Malaysia minggu lalu, karnival julung kali itu yang akan berlangsung itu adalah usaha bagi menghargai peminat setianya yang terus kekal berada di sisinya.

“Karnival ini adalah idea saya sendiri selepas menerima pelbagai permintaan daripada peminat di seluruh Malaysia menerusi lama sosial facebook (fb). Mereka mahu datang bertemu dan mengharapkan adanya satu sesi khas bagi mendekati saya.

“Justeru saya fikirkan karnival seperti ini adalah jalan terbaik untuk menzahirkan impian mereka.

“Sejak awal lagi, mereka yang datang ke Maju Junction berpeluang menyertai beberapa acara seperti pertandingan karaoke lagu saya, Tiru Gaya Jamal Abdillah sambil mendapatkan pelbagai cenderahati istimewa daripada saya.

“Selain itu sebuah gerai khas yang menjual produk D’Jas juga akan dibuka dan pada sebelah malamnya pula, saya akan muncul mengadakan sebuah ‘showcase’ istimewa buat penonton. Mereka hanya perlu membeli VCD Raja Pop 2 untuk menyaksikan persembahan saya itu. Saya akan menyanyikan lima lagu daripada album Raja Pop 2. Namun, tempat duduk adalah terhad,” kata Jamal yang ditemani anaknya, Osama Yamani.

Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah itu adalah kerjasama antara Warner Music Malaysia, Bintang Channel dan Maju Junction Mall.

Pemilik nama sebenar, Jamal Ubaidillah Ali dan berusia 52 tahun ini akui tidak sabar untuk turun padang lagi dan banyak menerima respons daripada peminat untuk ke sana.

Jadi pastikan peminat Jamal akan mengosongkan jadual pada 7 Januari depan.

Bagi yang berminat untuk menyertai aktiviti yang disediakan, silalah hubungi Kamal Rashid (019-574 6882) atau ibu pejabat Bintang Channel (03-414 31561).

Sementara itu tiada apa yang lebih penting bagi Jamal selain terus menyanyi dan menghasil–kan album sendiri.

Katanya, untuk terus kekal sebagai penyanyi lebih tiga dekad bukanlah sesuatu yang mudah dan dia bersyukur diberikan kekuatan.

“Kalau ada album bermakna adalah lagu baru dan dari situ muncul pula jemputan persembahan. Lantas saya memang begitu mengambil serius soal pembikinan album dan sentiasa bersemangat setiap kali masuk ke studio,” kata Juara Bintang RTM tahun 1979 itu.

Jamal mampu mengukir senyum apabila album Raja Pop dulu mencapai jualan kira-kira 150,000 unit. Lantaran itu, Warner Music Malaysia dengan lekas menerbitkan siri kedua, Raja Pop 2 yang sudah berada di pasaran.

Raja Pop 2 menampilkan lagu seniman era 1950-an dan 1960-an seperti S Effendy, Yopie Latul malah juga Rahim Maarof yang menjadi kegemaran Jamal.

Antara lagu dalam album itu, Jangan Kau Rayu, Lagu Rindu, Rayuan Maut, Tangisan Di Waktu Malam, Rundung Derita, Manis Manja dan Secupak Dua Cupak.

Memegang tanggungjawab sebagai Penerbit Eksekutif bagi album itu, Jamal bekerjasama dengan penerbit Razman untuk pembikinan sebuah lagu baru berjudul Bahagia Sementara.




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment