Friday 6 January 2012

Azura ke pantai timur

PROMOSI filem amat penting untuk membantu kemunculan sesebuah filem. Filem Ombak Rindu contohnya mendapat lebih perhatian apabila pelakonnya sendiri sanggup turun padang berjumpa peminat.

Terbaru, filem cinta yang tidak kurang hebatnya, Azura sedang memulakan rangka promosinya. Ia dibintangi Neelofa bersama Shah Jaszle.

Sekalipun agenda seninya sangat padat, Neelofa contohnya tetap turun padang menjayakan siri jelajah dan karnival filem Azura yang akan menuju ke Mydin Mall, Kuala Terenganu bermula hari ini, 5 Januari hingga 7 Januari.

Selain, Neelofa, program untuk mempromosikan filem itu akan turut dijayakan pengarah filem ini sendiri, Aziz, artis Luncai Emas, penampilan Deejay Suria FM iaitu Halim Othman dan DJ Zizi.


Secara peribadi, pemilik nama sebenar Neelofa Md Noor yang juga juara Dewi Remaja 2010 ini akui dia sangat teruja untuk berjumpa dengan peminat khususnya di pantai timur.


“Saya memang berasal dari Kelantan, tapi pernah membesar di Terengganu dan ada ramai saudara-mara dan kenalan di sana. Saya menjangkakan sambutan lebih hebat dari peminat di pantai timur berbanding di tempat lain sebelum ini.

“Saya juga tak mahu lepaskan peluang untuk menjayakan promosi filem Azura ini kerana bagi saya promosi adalah salah satu perkara yang sangat penting untuk memastikan kejayaan sesebuah filem di pawagam.

“Kalau bukan pelakon itu sendiri yang pergi promosi filem mereka, siapa lagi yang lebih layak untuk berbuat demikian?

“Saya percaya kalau kita buat promosi secara besar-besaran, sambutan peminat ke atas sesebuah filem itu akan lebih bagus lagi. Ini juga peluang untuk saya berjumpa peminat dan mendengar sendiri maklum balas mereka terhadap Azura,” katanya.

Ditanya harapannya terhadap Azura, akui Neelofa, ia memang tinggi menggunung apatah lagi, itu filem pertama lakonan beliau.

“Saya juga harap filem ini mendapat sambutan yang hebat daripada penonton nanti. Apa yang menarik filem ini sesuai ditonton semua golongan tidak kira tua atau muda.

“Azura adalah percubaan pertama saya di layar perak dan insya-Allah apa yang saya boleh katakan, banyak yang yang perlu saya pelajari untuk memberi yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, promosi filem Azura berlangsung di Kedah, Pulau Pinang, Shah Alam dan Seremban. Ini lokasi kelima dan selepas ini ada tiga lagi lokasi menanti iaitu di Johor Bahru, Kuantan dan Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Antara pengisian menarik diatur penganjur ialah forum cinta bersama Imam Hassan (jam 8 malam, 5 Januari), pertandingan karaoke bersama Luncai Emas, pameran serta penampilan artis.

Tidak ketinggalan, acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan untuk dimenangi oleh penonton seperti iPad, iPhone dan Blackberry serta tiket Malam Gala Azura.

Filem ini turut menjalani penggambaran di Kota London dan dibintangi Neelofa bersama Shah Jaszle, Afdlin Shauki dan Erma Fatima. Ia akan mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 2 Februari nanti.

Sebelum ini Azura pernah diterbitkan Sabah Filem pada era 1980-an dan dibintangi oleh Jamal Abdillah bersama Ogy Ahmad Daud. Turut berlakon, Raffi Hussein, Syed Sobri, Yusni Jaafar, A Galak dan Maria Arshad.




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment