Friday 6 January 2012

Syafiq gugat pengarah lain?

BERGELAR pengarah filem termuda di Malaysia, pasti ada yang masih memandang rendah atau mempertikaikan kemampuan Syafiq Yusof.

Maklum saja, ketika mengarahkan filem S.A.M (Saya Amat Mencintaimu) tahun lalu, anak bongsu kepada pasangan Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail itu baru berusia 18 tahun.

Ada yang cakap Syafiq mudah mendapat peluang kerana status ayahnya sendiri sebagai produser filem terkenal bahkan soal bajet bukanlah masalah besar bagi Skop Productions Sdn Bhd untuk menampungnya.

Namun, saat mengikuti rombongan Skop Productions ke Thailand di Film Development Co Ltd (SFD), Bangplad, Bangkok, yang menjadi tempat S.A.M menjalani proses post produksi terutama untuk memasukkan sistem bunyi berkualiti Dolby Digital EX, bermula 26 hingga 29 Disember lalu, ia menampakkan sesuatu yang sangat positif.


Kunjungan media ke Bangkok kali ini ditemani Pengurus Pengedaran dan Promosi Skop Productions, Rosman Ibrahim serta disambut Pengurus Pemasaran SFD, Thanapon Maliwan.


S.A.M bagaikan satu amaran daripada Syafiq dan percayalah, filem ini akan membuatkan ramai pengarah sedia ada berasa ‘terpukul’ dengan kehebatan pengarah pemuda ini.

Apabila anda berpeluang menontonnya nanti, anda pasti dihambat perasaan tidak percaya bahawa filem itu dihasilkan seorang remaja lelaki yang baru berusia 18 tahun.

Menawarkan jalan cerita dan plot yang menarik, S.A.M diperkemaskan dengan teknik pergerakan kamera serta suntingan yang kemas. Ia dimantapkan lagi dengan lakonan berkesan penerajunya iaitu Shaheizy Sam, Lisa Surihani termasuk beberapa pelakon pembantu seperti Azad Jasmin dan Syamsul Yusof.

Ingin saja penulis berkongsi pengalaman eksklusif menjadi antara penonton terawal menyaksikan S.A.M di Bangkok.

Namun, kerana amanah Datuk Yusof yang turut menitipkan pesan buat dua lagi wakil media, Raja Nur Fatimah Mawar dari B*Pop Berita Harian dan Rozdan Mazalan (Hip! Berita Harian) agar kami terpaksa merahsiakan dulu intipati filem itu sebagai satu kejutan.

Kunjungan Syafiq selama seminggu di Bangkok bermula 22 hingga 25 Disember lalu, selain menjalani proses memasukkan audio di SFD juga menghantar S.A.M untuk proses ‘digital imaging’ dan ‘colour grading’ iaitu pembetulan warna.

“SFD umpama ‘one stop centre’ kerana semua proses mencantikkan filem boleh dilakukan di sini. Kebanyakan filem abang saya (Syamsul) juga dibuat di sini antaranya Evolusi KL Drift 2 (EKLD2), Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Khurafat - Perjanjian Syaitan dan KL Gangster.

“Selain kelengkapan canggih yang tidak ada di Malaysia, SFD juga punya tenaga pakar dalam membantu menyelia kawalan kualiti. Hampir seminggu berkurung di SFD, banyak proses yang perlu saya sempurnakan. Selain memasukkan suara dan warna saya juga harus menyudahkan skor muzik, bunyi kesan khas (folley effect) serta CGI (Imej Janaan Berkomputer).

“Untuk filem S.A.M ini saya juga menggunakan format ‘cinema scope’ sama seperti filem Khurafat. Cinema scope menjadikan imej gambar di skrin nampak lebih besar,” jelasnya.

Ditemani Penasihat Teknikal Skop Production, Musa Idris dan sepupunya, Syafiq menambah, proses suntingan dibuat terlebih dulu di Kuala Lumpur sebelum membawanya ke Bangkok.

Menyifatkan ia sebagai proses paling mencabar, Syafiq yang sebelum ini dikenali dengan karektor tenang akhirnya tewas dengan perasaan amarah. Malah, gara-gara tertekan, dua telefon bimbitnya menjadi mangsa amukan!

“Dua telefon bimbit saya jahaman kerana saya tidak sengaja mencampakkan ke lantai disebabkan terlalu tertekan semasa proses suntingan dilakukan.

“Dalam banyak-banyak bahagian filem ini, proses suntingan adalah yang paling susah sekali. Bukan saja telefon bimbit yang menjadi mangsa, malah setiap hari juga saya tidur di pejabat Skop Productions untuk memberi tumpuan kepada proses ini.

“Mujurlah semua berjalan dengan baik. Saya bertuah ada kru produksi yang mahir serta barisan pelakon hebat dalam memainkan tugas masing-masing,” katanya.

Apa yang jelas, Bangkok yang dikenali dengan jolokan Syurga Dunia pun tidak mampu lagi memikat Syafiq yang selama beberapa hari berkurung dalam SFD.

Hanya satu malam (26 Disember 2010), dia sempat untuk bersama-sama ibu-bapanya ke pusat urut kaki di sebuah spa berdekatan dengan hotel penginapan selain berkunjung ke restoran nasi beriani di Sukhumvit.

“Pagi saya ke makmal filem, tengah malam baru pulang ke hotel dan terus tidur. Saya tak sempat berjalan-jalan mahupun beli-belah,” katanya.

Datuk Yusof Haslam sebelum meninggalkan Bangkok pada 28 Disember lalu, sempat berkongsi pandangannya me–ngenai filem S.A.M yang juga kali pertama ditonton secara penuh.

“Sebagai ayah saya terperanjat dengan hasil kerja Syafiq. Saya berikan dia ‘A’ bukan sebab dia anak saya tapi hasil yang dipamerkan Syafiq melepasi piawaian pengarah profesional.

“Saya bangga kerana seorang lagi anak saya berjaya menghasilkan filem yang berat yang lari dari kebiasaan. Bagaimanapun, untuk filem ini saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana ia genre ‘psycho thriller’.

“Jika ia mendapat sambutan, saya anggap itu rezeki. Bagi saya cukuplah sekadar balik modal. Apa yang penting saya mengharapkan filem ini mampu mengenengahkan nama Syafiq.

“Untuk S.A.M, saya melihat daripada proses menulis skrip, pengarahan hinggalah suntingan semuanya dilakukan sendiri oleh Syafiq. Dia bekerja keras untuk filem ini. Bukan itu saja, selepas menyaksikan previu tadi, saya merasakan ia adalah antara lakonan terhebat Shaheizy Sam,” katanya.




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment