Monday 2 January 2012

Tidak mampu berubat

BALING: Sebelum subuh iaitu seawal jam 4 pagi, Siti Aishah Ayub, 49, ibu kepada 12 anak mula mengutip ranting atau kayu di sekeliling rumah bagi menyalakan dapur kayu untuk memanaskan air dan menyediakan sarapan kepada suami, Mat Ali Mat Zain, 54, selain bekalan kepada anaknya yang masih bersekolah.

Selepas azan, si ayah mula mandi dan menunaikan solat sebelum menghantar anak ke sekolah. Dia kemudian ke kebun menoreh getah sehingga tengah hari, selain membantu isteri berkebun. Jika tanaman membuahkan hasil, Siti Aishah akan menjual hasil tanaman ke kedai berhampiran.


Itulah rutin harian keluarga itu yang hidup dalam serba kekurangan terutama selepas dihalau daripada mendiami rumah di tanah milik orang lain sebelum mereka mendirikan rumah baru di tanah pusaka di Kampung Padang Cik Mas, Mukim Pulai, di sini.

Mereka terpaksa berhimpit dalam rumah di kawasan dusun yang tidak ubah seperti pondok dan kelihatan usang selain tidak mempunyai bilik dan tandas selesa.


Apa tidaknya, sembilan anak dan seorang cucu masih tinggal bersama Mat Ali dan Siti Aishah di rumah diperbuat daripada kayu hutan dan barang terbuang sejak lebih lapan bulan lalu, manakala tiga lagi tinggal bersama keluarga masing-masing.


Wartawan Harian Metro yang berkongsi pengalaman menghabiskan masa semalaman bersama keluarga itu tidak sampai hati untuk berhimpit bersama dan ingin tidur di bahagian para depan rumah bertemankan selimut dan bantal, namun dihalang ketua keluarga itu dengan alasan tetamu harus diberikan keselesaan.

Akur dengan keputusan itu, wartawan dipelawa baring di tilam usang milik pasangan itu, namun kira-kira sejam terjaga akibat gigitan nyamuk dan kesejukan, air mata menitis melihat Mat Ali meringkuk di luar rumah berselimut tuala dengan kepala berlapikkan tangan.


Bunyi lantai rumah ketika wartawan berjalan mengejutkan Mat Ali daripada tidur, menyebabkan kami berbual sehingga Siti Aishah bangun menyiapkan air panas dan pisang goreng untuk sarapan dan ketika inilah wartawan berpeluang bersembang dengan mereka.

Pondok usang keluarga itu hanya berlantai pinang, dinding papan terbuang, atap zink reput sebagai tempat berteduh.


Mat Ali berkata, mereka tinggal 12 beranak di dalam pondok itu dan berhimpit tempat tidur kerana tidak mampu membina rumah yang lebih selesa akibat dihimpit kemiskinan.


Menurutnya, tiga daripada anaknya sudah berumahtangga dan mereka tinggal bersama keluarga masing-masing di Alor Setar dan Kuala Lumpur.


Selain anak yang masih bersekolah, lebih memeritkan Mat Ali yang hanya mengambil upah menoreh ialah keadaan kesihatan isteri yang menghidap sakit buah pinggang, di mana hanya sebelah masih berfungsi.


“Memang penghantaran dilakukan percuma oleh Hospital Baling, namun kos perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar tidak mampu ditanggung, menyebabkan seorang kakitangan hospital itu menasihatkan isteri saya meminum air rebusan daun misai kucing yang mudah diperoleh.


“Dengan pendapatan yang tak menentu, saya terpaksa membanting tulang empat kerat untuk mencari rezeki supaya anak tidak berlapar dan Alhamdulillah, kerja bercucuk tanam yang dilakukan bersama isteri serba sedikit membolehkan kami menambah pendapatan iaitu RM60 sebulan selain upah menoreh RM400 selain bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM),” katanya.




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment