Thursday 5 January 2012

BORAK LOKASI: Idea spontan ketika penggambaran

MENCARI kepuasan dalam berkarya, pengarah Yeop Hitler Zami menyifatkan telefilem Ikan Bakar sebagai naskhah istimewa yang harus dipertontonkan pada khalayak.

Katanya, cerita ini mampu menyentuh perasaan penonton dengan kisah bapa bersifat keanak-anakan, tetapi masih berusaha menunjukkan kasih sayang pada anaknya.

“Saya sebenarnya sudah lama menunggu naskhah seperti ini. Apabila Azman memberi kepercayaan pada saya mengarah cerita ini, ia menjadi tanggungjawab pada saya bersama Mohd Noor menyampaikan secara visual.

“Pada saya, tiada masalah yang sukar berlaku ketika penggambaran. Cuma, menariknya saya mendapat idea penghujung cerita ini ketika penggambaran berlangsung.


“Idea ini datang spontan dan jarang berlaku pada diri saya sendiri sepanjang me?ngarah. Ketika saya menga?rah filem Janin dulu, situasi seperti ini pernah berlaku.


“Apabila idea datang ketika penggambaran, saya teruskan saja ia berlaku dan hasilnya boleh menjadi lebih menarik dari apa yang dirancangkan,” katanya.

Mengenai aspek lakonan, Yeop berpandangan Rusdi menunjukkan lakonan sangat konsisten termasuk barisan pelakon lain yang memberikan sepenuh komitmen.

“Lakonan Rusdi menjadi, tetapi tidak keterlaluan dan nampak bersahaja. Saya sangat berpuas hati dengan hasil lakonan dan saya percaya penonton mampu terima penyampaian cerita ini seadanya.

“Pada permulaan cerita diselitkan elemen komedi, tetapi pada suatu masa, ketika watak ini bersedih ia mampu membuat penonton berkongsi kesedihan itu.

“Boleh dikatakan penonton akan tersengih sampai sebak. Sepatutnya, kita mempunyai lebih banyak skrip yang membawa kisah sebegini berbanding kisah percintaan yang terlalu banyak ditayangkan.

“Cerita ini membawa mesej kita tidak seharusnya menilai seseorang hanya dari jauh tanpa memahami watak itu sendiri,” katanya mengenai karya ke-50 arahannya itu.

Yeop yang mula mengarah sejak Jeram Lesung pada 2003 merancang mahu terus fokus pada kerja pengarahan. Mengenai projek seterusnya, dia kini sibuk dengan projek filem baru, Bravo yang akan memulakan penggambaran pada Mac ini manakala akan bekerjasama dengan adiknya, Opie, untuk menunaikan impian arwah ayah mereka menerbitkan filem Orang Tua Dan Harimau.




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment