Thursday 5 January 2012

BORAK LOKASI: Suami dibomohkan ibu mentua

PERASAAN amarah Bakar tidak dapat dibendung lagi. Sindiran kawan-kawan terhadap ayahnya, Baharom, membuatkan dia rimas. Ketika melangkah ke dalam surau, Bakar bertembung dan terlanggar ayahnya, membuatkan rakan-rakan lain ketawa besar.

Tanpa disedari ayahnya, Bakar nekad menumbuk seorang rakannya yang menyindir itu. Aksi Bakar dengan rakannya menjadi babak menarik yang ingin disampaikan menerusi telefilem Ikan Bakar akan ditayangkan menerusi slot Cerekarama di TV3, Sabtu ini, mulai jam 10 malam.

Produser, Azman Nor Shamsuddin, berkata cerita ini memapar pengorbanan isteri taat pada suami walaupun menempuh pelbagai dugaan. Telefilem kedua terbitan produksi One Asia Creative & Trading Sdn Bhd selepas drama 13 episod, Pintu Mistik mengisahkan watak utama Shakinah menggalas tugas isteri, ibu dan ketua keluarga selepas suaminya mengalami masalah terencat akal.

“Suaminya berperwatakan seperti keanak-anakan selepas dia dikatakan mengalami demam panas. Sebenarnya suami itu iaitu Baharom ‘dibomohkan’ ibu mentuanya sendiri.


“Ada pelbagai adegan menunjukkan perbuatan jahat itu berlaku seperti bomoh menurun dan ibu melakukan solat taubat meminta ampun atas dosa yang dilakukan.


“Bagi saya, cerita ini menarik dari awal penceritaan sehingga penghujung yang memberi kesedaran kepada penonton. Mengikut skrip asal, keluarga Shakinah digambarkan hidup miskin, tetapi ia diubah agar menampakkan dia boleh hidup berdikari sehingga berjaya mengusahakan kebun sayur miliknya.

“Saya fikir cerita Melayu harus mengubah persepsi apabila kisah sedih, ia adalah orang miskin. Merujuk situasi sekarang, ramai orang Melayu sudah berjaya dalam hidup walaupun tinggal di kampung.

“Ini membuktikan orang kita mempunyai keyakinan tinggi untuk berjaya, tabah berdepan cabaran dan berbakat dalam mengusahakan perniagaan sendiri,” katanya.

Azman yang ditemui di lo?kasi penggambaran di Kuang, Selangor, baru-baru ini menyatakan elemen tanggung?jawab isteri kepada suami dan keluarga menjadi mesej penting untuk disampaikan pada penonton.

“Seperti Shakinah, anak mereka Bakar juga tidak mendapat kasih sayang ayah dengan sepenuhnya. Sehingga kehadiran Rozali yang juga bekas tunang Shakinah, cuba menghasut pemikiran wanita itu bersama anaknya.

“Judul Ikan Bakar merujuk kepada keluarga ini yang suka makan ikan bakar. Begitu juga, Rozali menghadiahkan ikan emas kepada Bakar, tetapi apabila ayahnya tidak sengaja membuang ikan itu, Bakar menjadi marah.

“Bagi saya, tanggungjawab isteri pada suami dan keluarga perlu ditekankan. Apa yang saya ingin fokus, bagaimana individu itu tabah berdepan dugaan Tuhan.

“Begitu juga, isteri harus menjaga ketaatan pada suami kerana ini menjadi kekuatan dalam mempertahankan rumah tangga,” katanya yang juga adik kepada pelakon dan produser handalan, Rosyam Nor.

Berdebar menanti tayangan,? Azman bersyukur kerana mendapat respons positif TV3 yang berpuas hati dengan hasil pertamanya bersama stesen swasta itu. Drama ini menjalani penggambaran selama seminggu di Kuang dan Ampang, Selangor.

“Gandingan pengarah dan pelakon memberikan komitmen yang cemerlang sepanjang penggambaran ini. Malah, aspek sinematografi memberi kelebihan pada cerita apatah lagi saya berpeluang menggunakan khidmat pengarah fotografi (DOP) berpengalaman, Mohd Noor Mohd Kassim.

“Sejak dua tahun syarikat produksi saya ditubuhkan, ‘motto’ kerja kami adalah kreativiti diutamakan dan kualiti dicapai, sentiasa dititikberatkan.

“Soal pemilihan pelakon dibuat atas perbincangan bersama TV3 dan apabila saya mengambil Rusdi Ramli sebagai pelakon utama, ia mengingatkan saya ketika kami bersama berlakon drama Dendam Terlerai pada 1997.

“Bekerjasama dengan pengarah Yeop Hitler juga tidak memberikan masalah kerana dia seorang yang berfikiran terbuka yang boleh menerima pandangan orang lain termasuk kru produksi,” katanya.

PROFIL

JUDUL: Ikan Bakar
PRODUKSI: One Asia Creative & Trading Sdn Bhd
PRODUSER: Azman Nor Shamsuddin
PRODUSER EKSEKUTIF: Kay Haslinda Ramley
PENULIS SKRIP: Mohd Rohizan Ramli
PENGARAH: Mohd Latiff Zami @ Yeop Hitler
PENOLONG PENGARAH: Aainaa Khairuldin
PENGURUS PRODUKSI: Irwan Abd Ghani
PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Zulkamal Thaqif Zamri
PEMBANTU PRODUKSI: Muhamad Nor Hisham Mazri
PENGARAH SENIMATOGRAFI: Mohd Noor Mohd Kassim
KESINAMBUNGAN: Nurlina Shafiqah Zakbah
PROP MASTER: Azrin Bin Dolmala
PROPMAN: Mohd Nasrul Muhklis
JURUSOLEK: R Hairey Nizam R Nordin Ahmad
HANDY: Mohd Firdaus Nadxaman
EDITOR: Azizi
PEMBANTU JURUKAMERA: Noor Azlan Noor Azmi
PENATA CAHAYA: Sazali Esa
KEY GRIP: Rosli Mohd Bukhari
PENATA BUNYI: Aliff Omar Osman
KRU: Ubaidilah Ula

PELAKON:
1. Rusdi Ramli (Baharom)
2. Lisdawati (Shakinah)
3. Danial (Bakar)
4. Zed Zaidi (Rozali)
5. Kismah Johar (Mak Shakinah)
6. Syed Ali (Mamat)
7. Aisyah Abdullah (Mak Rozali)
8. Ahmad Phazillah (Pak Abu)

PENAMPILAN KHAS:
1. Azman Nor Shamsuddin
2. Kay Haslinda Ramley
3. Yeop Hitler




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment