Thursday 5 January 2012

JoHaRa kecohkan konti Era FM

PERTAMA kali digandingkan, mereka kelihatan cukup serasi bersama. Seawal jam 6 pagi lagi, mereka sudah bikin kecoh dengan celoteh di konti.

Bagi pendengar setia stesen radio Era FM, kemunculan Johan Raja Lawak menyertai keluarga penyampai stesen ini memberi kejutan ditunggu khusus pendengar setia.

Bermula 1 Januari lalu, Johan bergandingan bersama Shah Reza Mohd Shah (Ray) dan Haniff Hamzah mengendalikan segmen JoHaRa Pagi Era.

JoHaRa merujuk singkatan tiga nama penyampai, Johan, Haniff dan Ray tampil memberi pembaharuan pada pengenalan Era FM sempena tahun baru. Andai nama penyampai terdahulu - Khairil Rashid, Kieran, Aznil Nawawi (Pak Nil) dan Allahyarham Din Beramboi pernah menaikkan stesen ini, kini Johan menjadi sandaran baru dalam mengembalikan kegemilangan Era FM.


Johan yang dicungkil bakat menerusi program realiti Raja Lawak musim pertama dikenali dengan aksi jenaka spontan dan suka menyakat selebriti lain. Ketika ditemui selepas selesai menjalankan tugas pada hari kedua di Astro, Bukit Jalil Kuala Lumpur kelmarin, Johan kelihatan semakin menyesuaikan diri dengan kerja di konti bersama Ray dan Haniff.


Katanya, dia tidak berdepan masalah ketika ke udara apatah lagi perlu bangun seawal jam 4.30 pagi untuk ke konti Era FM. Secara positif, dia berpandangan kerja awal pagi mendisiplinkan diri bangun awal.

“Selalunya saya bangun awal apabila mempunyai komitmen kerja. Bersama Ray dan Haniff, saya tidak rasakan ia tidak terlalu susah untuk mendapatkan keserasian.
“Sebagai orang baru, saya percaya perlu ambil masa belajar dengan cara kerja di konti. Saya sendiri suka mencuba sesuatu yang baru.

“Seperti bidang penyampai radio, ia masih sama dengan bidang seni lain cuma saya perlu berkarya menerusi kata-kata tanpa menunjukkan bahasa tubuh yang biasanya digambarkan secara visual,” katanya.

Johan akui sudah lama menerima beberapa tawaran termasuk dari Era FM sebagai penyampai radio sejak tahun lalu. Namun, ketika itu dia belum bersedia.

“Pada masa itu, saya fikir belum masanya saya ke radio kerana mahu fokus pada TV. Mungkin tahun ini adalah rezeki saya mencuba bidang penyampai radio.

“Adanya komitmen baru, saya kena bijak bahagikan masa sewajarnya. Kalau ada program TV, ia perlu dibuat selepas jam 11 pagi dan sebelum 11 malam, saya kena pastikan sudah balik ke rumah untuk tidur.

“Rehat yang cukup penting untuk saya mulakan tugasan di konti. Bagi saya, tidak guna ada duit banyak mana sekalipun tapi tak cukup rehat. Cabaran sebagai penyampai radio bukan mudah kerana otak kena cepat berfikir mencari idea secara spontan,” katanya pernah bertugas penyampai radio jemputan Era FM setiap Sabtu sejak Ogos lalu.

Bercerita perkembangan lain, Johan menyatakan dia terbabit dengan satu program komedi dan akan kembali ke lokasi penggambaran filem baru bersama Syamsul Yusof pada Februari manakala penggambaran musim baru, drama bersiri sebanyak 13 episod, Drogba & Rooney dijangka ke London pada April nanti.

Sebagai pelawak, Johan menyatakan karakter suka menyakat orang lain disukai peminat, tetapi dia tidak mahu dibuat secara keterlaluan.

Katanya, karakter sebegitu hanya ketika bekerja, tetapi di luar dia juga manusia biasa.

“Ada ketika saya pelik bila di tempat awam. Kalau buat tak tahu, orang kata saya sombong tapi saya minta agar peminat menyapa dengan elok,” katanya.

Bagi Ray, menimba pengalaman bersama Era FM sejak 2005 banyak memberi pengajaran padanya mendekati pendengar. Menerusi komen pendengar di facebook, (fb), Ray berpandangan Era FM masih menerima sokongan kuat pendengar walaupun kini berada pada kedudukan ketiga di kalangan stesen radio tempatan dengan purata 3.5 juta pendengar.

“Ketika mula bertugas dulu, saya bersama Haniff juga terkejut apabila digandingkan dengan Pak Nil. Ketika itu, saya masuk stesen ini bukan kerana Pak Nil tapi melihat peluang maju bersama Era FM.

“Bagi saya, pencapaian stesen ini semakin maju dan banyak aktiviti kami jalankan bersama pendengar secara ‘on ground’. Dalam berkomunikasi bersama pendengar, kemas kini aktiviti menerusi fb dan twitter cukup penting dalam menarik perhatian pendengar.

“Ada pendengar seronok apabila mendengar suara Johan dan Johan memberikan kelebihan popularitinya kepada stesen ini. Namun apa yang penting, saya percaya kerjasama perlu dititikberatkan agar menjadikan stesen ini terus maju,” katanya pernah setahun berkhidmat bersama X-Fresh FM (XFM).

Bersama Ray, Haniff pernah bergandingan sebagai penyampai X-Fresh FM pada 2008 dan kemudian menyertai Era FM sejak 2009.

“Sampai sekarang, masih ramai rindukan suara arwah Din. Ketika bersama Pak Nil, kami tidak berlawak dan boleh dikatakan unsur jenaka itu tiada.

“Namun, gandingan kami bertiga ketika itu tetap mempunyai keserasian. Pak Nil banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dengan Ray dan jarak usia antara kami dengan Pak Nil menjadikan segmen kami lebih menarik,” kata Haniff.

Sambil bersyukur pada Era FM kerana menaikkan namanya dikenali ramai pendengar, Haniff positif gandingan Johan bersama mereka memberi sandaran baru dinantikan pendengar.

“Komedi Johan tiada noktah dan atas faktor itu, dia menjadi tarikan. Malah, pembaharuan pada penyampai baru memang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, bekas juara Akademi Fantasia musim kedua, Zahid turut muncul sebagai penyampai baru bergandingan bersama Adifashla mengendalikan segmen Petang Era dari 4 petang sehingga 8 malam.




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment