Saturday 31 December 2011

Dituduh tipu NFC

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua pertuduhan menipu Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berjumlah RM1.755 juta.

Shamsubahrin, 45, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.


Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini, pada jam 6 petang, 20 November lalu.


Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayakan sehingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek berjumlah RM1.755 juta.


Shamsubahrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan Solaris, Mont Kiara, di sini, antara 25 November hingga 6 Disember lalu.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin dan memerintah pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Ahmad Zamzani menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula.


Pendakwaan dijalankan Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa manakala tertuduh diwakili peguam J Rao.


Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment