Thursday 29 December 2011

BORAK LOKASI: Lebih fokus pada pelakon

MENCARI sudut menarik untuk dirakam menjadi tanggungjawab hakiki dilalui jurukamera. Pengalaman sama ditimba Azri Izhar yang banyak terbabit dengan pelbagai penggambaran drama termasuk filem.

Mula berkecimpung dalam kerja kamera sejak 1990, Azri menyatakan setiap syot yang diambil penting dalam menyampaikan mesej dan menyampaikan penceritaan lebih jelas pada watak.

“Bekerja dengan cara pengarahan Khir, kamera tidak banyak bergerak kerana dia lebih mahukan syot statik. Drama ini sebenarnya lebih fokus pada aspek lakonan pelakon itu sendiri.

“Banyak adegan luar rumah dirakam manakala penggambaran pada waktu siang dan malam boleh dikatakan seimbang. Saya percaya drama ini menarik kerana ia menggambarkan kisah masyarakat Cina, tetapi pembikinannya dibuat produksi Melayu.


“Secara peribadi, kepuasan lebih pada filem kerana drama selalunya menggunakan satu lensa berbanding filem yang mempunyai skop lebih besar. Aspek teknikal sukar untuk diceritakan secara tulisan tetapi apa yang penting, ‘treatment’ filem lebih menyeronokkan,” katanya.


Azri yang sudah empat kali bekerjasama dengan Khir mengakui dia selesa untuk bekerja lagi dengan pengarah ini yang juga anak kepada penyanyi terkenal 60-an, Datuk A Rahman Hassan bersama Datin Azizah Mohamad.

“Khir seorang pengarah yang sangat berbakat dari aspek kerja, bahasa yang digunakan malah dia berkomunikasi dengan jelas ketika di lokasi penggambaran membuatkan semua kru dan pelakon faham apa kehendaknya.

“Apabila bekerja dengan orang yang kita selesa, saya sendiri seronok untuk menyiapkan sesuatu karya itu. Selepas ini, saya mempunyai satu projek bersama Khir yang dijangka penggambaran pada awal Februari tahun depan,” katanya.




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment