Friday 30 December 2011

SOSEH SOSEH: Bercinta hingga lupa dunia

ALAM percintaan memang indah. Apatah lagi, jika bercinta pada zaman remaja kerana semuanya memang indah atau tiada cacat dan celanya, ketika itu.

Tanyalah mana-mana pasangan bercinta, semuanya mengimpikan cinta sehebat Romeo dan Juliet atau Laila dan Majnun. Kalau cinta tidak hebat, masakan Shah Jahan sanggup membina kota Taj Mahal sebagai lambang cintanya yang agung buat isteri tercinta, Mumtaz Mahal. Itulah hebatnya penangan cinta sejati.

Namun, ada pula orang yang terlalu asyik bercinta hingga lupa dunia dan orang sekelilingnya. Kerja yang selama ini komited bertukar cincai dan sambil lewa saja. Itulah yang terjadi pada artis lelaki ini.

Kata rakan SS, sejak dilamun cinta, artis lelaki ini menjadi seorang yang tidak profesional dan tidak berdisiplin. Ketika berlakon di lokasi penggambaran drama, si artis sibuk melayan SMS dan telefon bimbit yang tidak pernah lekang dari tangannya.


Bila asyik dengan telefon bimbit, artis itu juga menjadi tidak fokus pada karakter dilakonkan dalam drama. Buat babak dalam drama itu pun asal boleh je.


Bukan rakan SS nak buat cerita sebaliknya ia luahan hati dua artis wanita yang pernah bergandingan dengannya dalam drama sebelum ini. Mereka berasakan artis lelaki ini juga tiada ‘jiwa’ pada karakter dan lakonannya turut menjadi hambar.

Justeru, artis wanita dimaksudkan kini tidak lagi berminat untuk bergandingan dengan artis lelaki itu pada masa akan datang. Tidak cukup dengan itu, artis lelaki itu juga sering datang lewat ke lokasi selama beberapa jam hingga pelakon lain tertunggu-tunggu kemunculannya di lokasi. Perkara ini sudah menjadi buah mulut di kalangan orang produksi di luar sana.

Kalau sekali dua lewat ke lokasi, mungkin orang boleh terima alasannya tapi kalau sudah kerap dengan pelbagai alasan, orang pun jadi meluat dan tidak percaya padanya lagi.

Tambah rakan SS lagi, artis lain pun bercinta juga tapi kehidupan dan karier tetap berjalan seperti biasa. Kepada artis itu, bangunlah dari terus dibuai cinta dan mimpi yang indah itu.

Ingatlah, belum tentu sesebuah percintaan itu berakhir dengan perkahwinan diimpikan. SS bimbang, jika artis itu hilang arah pula jika cintanya itu tidak kesampaian. Nanti semuanya tak ke mana.




Sumber Dari Harian Metro

0 comments:

Post a Comment